Powered By Blogger

Isnin, 26 Ogos 2013

Langkah ke 4 - Jadual Dan Laporan

Setelah selesai menyemai benih, terdapat beberapa jadual dan laporan yang boleh disediakan bagi membantu penjagaan pokok cili.

Antara jadualnya adalah seperti Jadual Siraman, Jadual Baja, Jadual Meracun dan Jadual Hayat Pokok.

Manakala laporan pula seperti Laporan Penyakit/Virus, Laporan Tumbesaran dan Laporan Hasil Harian.

Anda boleh menyatukan jadual atau laporan tersebut mengikut kesesuaian. Pastikan ianya mudah dan ringkas supaya anda lebih faham akan maklumat yang dicatit dan tidak merasa bosan untuk terus menggunakannya.

Bagi saya, jadual dan laporan ini penting sebagai rujukan dalam penjagaan pokok cili mahupun tanaman lain. Kerja yang bersistematik lebih memudahkan aktiviti kita.

Bagi yang rasa penyediaan jadual adalah merumitkan, cukup sekadar menanda di kalendar bagi tarikh-tarikh penting seperti tarikh semaian, tarikh pindah anak pokok dan tarikh meracun. Tarikh ini berguna bagi menentukan usia pokok, penggunaan baja dan kawalan penyakit.

Bagi tujuan penanaman secara komersil pula, jadual dan laporan amat penting. Ia dapat membantu dalam mengawal kos dan kelestarian hasil tanaman. Penanaman berskala besar memerlukan penjagaan rapi bagi baja dan kawalan penyakit, sebarang tindakan perlulah tersusun atau bersistematik. Jika tidak, ia akan menyebabkan kos meningkat dan hasil terjejas.

Langkah ke 3 - Semai Benih

Setelah cukup waktu rendaman benih, tiba masanya untuk menyemai biji benih.

Biji benih diletak pada bekas semaian yang telah disediakan. Seelok-eloknya, 1 pot semaian diletak dengan 3 biji benih tapi saya hanya meletak sebiji benih bagi setiap pot sebagai R&D saya sendiri.

Setelah biji benih diletakkan, tutup benih tersebut dengan sedikit Peatmoss (saya padatkan sedikit dengan jari).

R&D saya dan nasihat beberapa pakar:
Tapak semaian yang tersedia, diletakkan dalam bekas yang bertakung. Air dimasukkan sehingga terkena bahagian bawah pot semaian.

Ini bertujuan memberi lebih kelembapan pada medium semaian dan mengawal semut dari merosakkan benih.

Semaian diletak di tempat yang terlindung dari sinaran terus matahari.

Siram semaian menggunakan spray air sahaja dan pastikan kelembapan pada kadar sederhana supaya benih tidak rosak.

Langkah Ke 2 - Penyediaan Tapak Semaian

Untuk menyediakan tapak semaian, saya menggunakan pot semaian dan Peatmoss.

Bagi yang ingin mencuba tanaman di rumah atau sebagai percubaan dengan kos yang terhad. Sebagai alternatif, pot semaian boleh diganti dengan pasu bersaiz kecil (pasu pokok kaktus) atau bekas telur plastik (biasanya untuk pembungkusan telur yang mahal) ditebuk pada bahagian bawah.

Manakala bagi Peatmoss pula boleh diganti dengan tanah hitam yang dirawat (Tanah Hitam brand Tesco pun boleh). Campurkan tanah tersebut dengan sedikit baja organik.

Ahad, 25 Ogos 2013

Langkah Pertama - Biji Benih

Biji benih ni saya dapat dari kenalan jenis Cili Taiwan. Cuba dapatkan baka Cili Kulai tapi terlambat sebab kawan saya dah semai semuanya.

Langkah permulaan,biji benih perlu direndam di dalam air suam tidak kurang 14 jam dan tidak lebih 24 jam.Maklumat ini saya dapat dari penjual benih Cili Kulai di Negeri 9.

Biji benih yang terendam lama akan menyebabkan bengkak dan tempat permulaan tunas keluar akan terbuka. Secara tidak langsung,tunas akan terlebih cepat keluar sebelum waktunya dan berkemungkinan akan cepat rosak.

Biji benih yang terapung perlu disingkirkan kerana dalamnya lopong dan tidak mungkin akan bertunas.

Gaulkan kandungan biji benih dalam air supaya tidak melekat antara satu sama lain dan dapat pisahkan yang lopong dan berisi.

Biji benih yang tenggelam akan digunakan untuk semaian.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Kata-kata Aluan

Tahniah...akhirnya perancangan untuk menghasilkan blog ini berjaya juga selari dengan permulaan bidang baru yang saya ceburi ini.

Diharap isu-isu dan maklumat yang diketengahkan akan memberi manfaat kepada hadirin sekalian.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah sebagai rujukan ilmu kepada para hadirin yang berminat dalam bidang pertanian moden khususnya bagi penanaman cili.

Hari ini pada tanggal 23/08/2013, adalah permula bagi bidang ini dalam hidup saya. Semoga perjalanan saya ini akan diberkati oleh Allah S.W.T dan dapat saya berkongsi segala ilmu dan pengalaman saya kepada hadirin sekalian.

Selamat mengikuti perjalanan dan pengalaman yang penuh berliku ini. Sokongan daripada hadirin amat saya hargai.

Terima kasih.

Amani Agro Farming